 |
Peserta bengkel |
Perkembangan teknologi maklumat dan
komunikasi (ICT) yang pesat dan dinamik memberi kesan yang besar dalam
pelaksanaan pembudayaannya (ICT) serta literasi maklumat di sekolah.
Perkembangan ini turut mengubah lanskap pengurusan ICT, usaha Pembestarian
Sekolah, Pusat Sumber Sekolah (PSS) dan pelaksanaan program serta aktiviti
galakan membaca dan kemahiran maklumat.
Justeru, GPB/GICT/GPM/GPSS perlu mempunyai kompetensi untuk
merealisasikan objektif serta peranan tersebut yang menjurus kepada
pengurusan yang
cemerlang bidang-bidang yang berkaitan langsung dengan mereka. Hal ini
juga disebabkan merekalah satu-satunya agen perubahan ke arah
pembudayaan penggunaan sumber pendidikan dan maklumat berasaskan
teknologi ICT terkini di sekolah masing-masing.
Sehubungan itu, PKG Daerah Keningau telah mengambil daya usaha
menganjurkan bengkel yang dinamakan Bengkel Penggunaan Bahan Sumber
Pendidikan Berasaskan Web di Dalam Pengajaran dan Pembelajaran. Bengkel
ini berlangsung selama 2 hari iaitu pada 3-4 Mei 2012 bertempat di Bilik
Trus Madi, PKG Daerah Keningau. Bengkel telah dihadiri oleh seramai 31
orang guru yang terdiri daripada GPB/GICT dan GPM/GPSS Daerah Keningau.
Objektif dan tujuan bengkel ialah memberi pendedahan kepada guru-guru
tentang sumber pendidikan yang banyak dan pelbagai di ruang
siber/internet.
Semasa berbengkel dalam kelompok kecil (2-3 orang), para peserta
dikehendaki mengenalpasti laman-laman web yang menyediakan sumber
pendidikan (Teaching & Learning Resources) yang boleh membantu guru
di dalam pengajaran dan pembelajaran. Peserta seterusnya menyediakan
panduan berbentuk gambaran ringkas tentang laman web tersebut untuk
memudahkan guru-guru mengakses bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran.
Pada akhir bengkel, para peserta telah membentangkan hasil bengkel
masing-masing. Didapati bahawa ruang maya (siber) sememangnya banyak
menyediakan bahan sumber pendidikan yang sangat menarik dan pelbagai
untuk diterokai oleh para guru.
Kesemua hasil bengkel akan dimasukkan ke dalam blog
Keningau-GroupBest sebagai panduan kepada warga guru, khususnya di Daerah Keningau.
Fasilitator bengkel adalah terdiri daripada En. Rafian Yahya (PKG Tenom) dan Encik Erwan Jail (PKG Keningau)