Isnin, 7 Mei 2012

Bengkel Penggunaan Sumber Pendidikan Berasaskan Web

Peserta bengkel
Perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang pesat dan dinamik memberi kesan yang besar dalam pelaksanaan pembudayaannya (ICT) serta literasi maklumat di sekolah. Perkembangan ini turut mengubah lanskap pengurusan ICT, usaha Pembestarian Sekolah, Pusat Sumber Sekolah (PSS) dan pelaksanaan program serta aktiviti galakan membaca dan kemahiran maklumat.

Justeru, GPB/GICT/GPM/GPSS  perlu mempunyai kompetensi untuk merealisasikan objektif serta peranan tersebut yang menjurus kepada pengurusan yang cemerlang bidang-bidang yang berkaitan langsung dengan mereka. Hal ini juga disebabkan merekalah satu-satunya agen perubahan ke arah pembudayaan penggunaan sumber pendidikan dan maklumat berasaskan teknologi ICT terkini di sekolah masing-masing.

Sehubungan itu, PKG Daerah Keningau telah mengambil daya usaha menganjurkan bengkel yang dinamakan Bengkel Penggunaan Bahan Sumber Pendidikan Berasaskan Web di Dalam Pengajaran dan Pembelajaran. Bengkel ini berlangsung selama 2 hari iaitu pada 3-4 Mei 2012 bertempat di Bilik Trus Madi, PKG Daerah Keningau. Bengkel telah dihadiri oleh seramai 31 orang guru yang terdiri daripada GPB/GICT dan GPM/GPSS Daerah Keningau. Objektif dan tujuan bengkel ialah memberi pendedahan kepada guru-guru tentang sumber pendidikan yang banyak dan pelbagai di ruang siber/internet.

Semasa berbengkel dalam kelompok kecil (2-3 orang), para peserta dikehendaki mengenalpasti laman-laman web  yang menyediakan sumber pendidikan (Teaching & Learning Resources) yang boleh membantu guru di dalam pengajaran dan pembelajaran. Peserta seterusnya menyediakan panduan berbentuk gambaran ringkas tentang laman web tersebut untuk memudahkan guru-guru mengakses bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran.

Pada akhir bengkel, para peserta telah membentangkan hasil bengkel masing-masing. Didapati bahawa ruang maya (siber) sememangnya banyak menyediakan bahan sumber pendidikan yang sangat menarik dan pelbagai untuk diterokai oleh para guru.

Kesemua hasil bengkel akan dimasukkan ke dalam blog Keningau-GroupBest sebagai panduan kepada warga guru, khususnya di Daerah Keningau.

Fasilitator bengkel adalah terdiri daripada En. Rafian Yahya (PKG Tenom) dan Encik Erwan Jail (PKG Keningau)

1 ulasan: